Dari Anas bin Malik r.a menyebut bahawa Rasulullah SAW telah melihat di
kepala Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: Kesan
apakah ini? Abdul Rahman menjawab: Wahai Rasulullah aku telah berkahwin
dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan
sebanyak lima dirham emas. Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul
Rahman bin Auf dan berkata: Buatlah kenduri walaupun dengan seekor
kambing.
Huraian Hadith:
Dengan menjelangnya musim cuti sekolah, maka satu acara yang agak
sinonim dengannya adalah adanya majlis-majlis kenduri kahwin (walimatul
urus). Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin
merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis
walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak,
demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil
bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Namun
perintah ini tidak bererti kita dibenarkan untuk melakukan pembaziran
harta yang melampau-lampau dengan melakukan persediaan yang tidak perlu
atau mengharapkan adanya salam kerok yang diberikan (secara terpaksa)
oleh para tetamu. Malah jangan pula sampai walimah tersebut menjadi
majlis makan yang dikeji oleh Islam iaitu dengan mengkhususkan jemputan
hanya untuk orang kaya sahaja, sedangkan orang miskin dilupakan
sebagaimana sabda Rasulullah SAW: {Dari Abi Hurairah r.a katanya,
Rasulullah SAW bersabda: "Makanan yang paling buruk adalah makanan
walimah. Orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang
yang tidak perlu (orang kaya) diundang. (Muslim)}. Oleh itu
laksanakanlah walimah sekadar yang mampu, tanpa perlu merasa malu
disebut atau dikata orang. Yang penting adalah niat yang ikhlas, juga
suatu kesyukuran dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Mudah-mudahan
majlis yang diadakan dilimpahi berkat dan keredhaan daripada Allah
S.W.T.




Comments
Post a Comment
orang aje hehehe